fb fb fb fb fb

Starbucks ikut jejak McDonald’s tinggalkan Rusia

NEW YORK, 24 Mei - Syarikat rangkaian kopi terkemuka, Starbucks menumumkan pada Isnin, mereka  akan keluar dari pasaran Rusia selepas hampir 15 tahun sekali gus menyertai McDonald's Corp dalam menandakan berakhirnya kehadiran beberapa jenama Barat terkemuka di negara itu.

Starbucks yang berpangkalan di Seattle mempunyai 130 kedai di Rusia, dikendalikan oleh pemegang lesennya Alshaya Group, dengan hampir 2,000 pekerja di negara itu.

"Kami akan terus menyokong hampir 2,000 rakan kongsi apron hijau di Rusia, termasuk bayaran selama enam bulan dan bantuan untuk rakan kongsi beralih kepada peluang baharu di luar Starbucks," kata syarikat itu.

Langkah itu susulan tindakan serupa minggu lalu oleh satu lagi jenama gergasi Amerika Syarikat, McDonald's, yang mempunyai rangkaian lebih besar di negara itu.

Jenama AS telah berada di bawah tekanan untuk memutuskan hubungan dengan Rusia di tengah-tengah kecaman antarabangsa terhadap pencerobohan Ukraine.

Starbucks telah berada di Rusia selama 15 tahun. Dalam acara pelabur pada Disember 2010, para eksekutif mengatakan negara itu sebagai pasaran baharu utama untuk jenama tersebut, bersama-sama dengan China, Brazil dan India.

Starbucks bagaimanapun tidak mendedahkan kesan kewangan yang bakal ditanggung akibat keputusan yang diambil untuk keluar dari Rusia.

Sementara itu, McDonald's berkata keluarnya akan mengakibatkan kos sekali sahaja sebanyak AS$1.2 bilion hingga AS$1.4 bilion.

Pada hari Khamis, rangkaian itu berkata ia mencapai perjanjian untuk menjual perniagaannya di Rusian kepada ahli perniagaan Rusia Alexander Govor, pemegang lesen McDonald's.

Untuk rekod, saham Starbucks naik 0.5% kepada AS$73.76 pada Isnin. - AFP

 



(Gambar diambil pada 10 Mac 2022, pemandangan kedai kopi Starbucks yang ditutup di Moscow pada 10 Mac 2022.- AFP)

 

Media Baharu