fb fb fb fb fb

Syria pintas serangan misil Israel, tiada kemalangan jiwa

(Foto Fail AFP)

DAMSYIK, 7 Jun- Pertahanan udara Syria berjaya memintas serangan peluru berpandu Israel di selatan Damsyik. Bagaimanapun serangan pada Isnin itu tidak menyebabkan kematian, menurut sumber tentera kepada agensi berita rasmi Syria, SANA.

“Musuh Israel melancarkan serangan udara dari kawasan Bukit Golan yang dikuasai mereka menyasarkan selatan Damsyik,” dan kebanyakan serangan peluru berjaya dipintas pertahanan udara Syria, lapor SANA berdasarkan sumber tentera.  

“Kerosakan terhad kepada kemusnahan harta benda." 

Koresponden AFP yang berada di ibu negara Damsyik ada mendegar bunyi kuat pada petang hari kejadian.

Menurut Badan Pemantau Hak Asasi Manusia berkaitan perang di Syria, serangan udara itu menyasarkan kawasan pedalaman di selatan Damsyik, lokasi kumpulan Hezbollah Lubnan dan unit pertahanan udara Syria dilaporkan aktif.

Bulan lepas, serangan peluru berpandu permukaan ke permukaan membunuh sekurang-kurangnya tiga pegawai Syria berhampiran ibu kota Damsyik, menurut badan pemantau itu yang mempunyai rangkaian luas dari dalam Syria.   


(Foto daripada SANA menunjukkan sistem pertahanan Syria memintas peluru
berpandu dari Israel pada 13 Mei lalu/Fail AFP)

Serangan Israel itu menyasarkan kedudukan anggota bersenjata Iran dan stor senjata berhampiran Damsyik, kata badan pemantau itu.

Sejak perang saudara tercetus di Syria pada 2011, Israel telah melancarkan ratusan serangan udara terhadap jirannya, menyasarkan tentera kerajaan termasuk tentera sekutu Iran dan kumpulan bersenjata Lubnan atau Hezbollah.

Meskipun Israel jarang mengulas serangan yang dibuatnya, namun mereka memperakui telah melancarkan ratusan serangan.

Negara rejim itu memberi alasan untuk mempertahkan wilayahnya selain menghalang musuh ketat mereka, Iran bertapak atau masuk ke sempadan Israel.

Konflik di Syria telah menyebabkan hampir sejuta orang terbunuh dan memaksa hampir separuh daripada jumlah penduduk asal atau sebelum perang melarikan diri. –AFP

Media Baharu