(Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli Republik Dominican, Orlando Jorge Mera
bergambar untuk foto publisitinya di Santo Domingo pada 18 Mei lalu.
Mera ditembak dan dibunuh di pejabatnya pada Isnin/FOTO AP)
SANTO DOMINGO, 7 Jun - Menteri Alam Sekitar Republik Dominika, Orlando Jorge Mera, maut akibat ditembak dalam satu insiden di pejabatnya di sini pada Isnin, dipercayai dilakukan oleh “rakan baiknya”, menurut pejabat presiden.
Miguel Cruz, “rakan baik Mera” telah ditahan polis, lapor Xinhua memetik kenyataan pejabat presiden.
Kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Insiden itu "sudah disiasat" dan hasil siasatan akan didedahkan kepada umum pada masa yang sesuai.
Sumber Kementerian Alam Sekitar dipetik akhbar tempatan ‘Acento’ memberitahu, penyerang bertindak memasuki pejabat Mera seorang diri, lalu kedengaran enam hingga tujuh das tembakan dilepaskan.
(Polis menahan ahli perniagaan dan rakan lama Menteri Alam Sekitar Republik Dominican,
Orlando Jorge Mera yang didakwa ditembak mati semasa mesyuarat/Syot layar video AFP)
Bangunan kementerian dikosongkan susulan insiden itu.
Mera, 55, merupakan anak kepada bekas Presiden Dominika Salvador Jorge Blanco, yang memerintah negara Caribbean itu pada 1982 dan 1986.
Beliau dilantik menjadi menteri di bawah pemerintahan Presiden Luis Abinader pada Ogos 2020. - BERNAMA