MIAMI, 7 Jun- Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun secara tidak sengaja menembak dan membunuh bapanya di Florida menggunakan pistol berisi peluru hidup yang ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan.
Pegawai penguat kuasa undang-undang, John Mina memaklumkan, mangsa Reggie Mabry berusia 26 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Jelas beliau, sebaik menerima panggilan kecemasan, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati isteri mangsa, Marie Ayala sedang memberi bantuan pernafasan (CPR).
"Pegawai penguat kuasa pada awalnya percaya mangsa menembak dirinya sendiri.
Bagaimanapun, saksi, iaitu anak sulung mangsa memberitahu, mangsa ditembak oleh adik mereka yang menarik picu pistol tersebut," katanya dalam satu sidang media.
(John Mina memaklumkan mengenai insiden berkenaan dalam satu sidang media
di sini / Foto Twitter Orange County Sheriff's Office)
Tambah beliau, Mabry dipercayai meletakkan pistol berkenaan di dalam beg dan ditinggalkan di atas lantai sebelum diambil oleh anaknya.
Kanak-kanak tersebut kemudian menembak bahagian belakang bapanya ketika mangsa sedang bermain permainan video.
"Kejadian itu disaksikan lima ahli keluarga mangsa yang berada di dalam bilik sama ketika kejadian.
Mangsa dan isterinya berada dalam parol ketika itu selepas didapati bersalah melakukan pengabaian kanak-kanak selain penyalahgunaan dadah," katanya lagi.
Insiden seumpamanya bukan perkara luar biasa di Amerika Syarikat.
Pada Ogos 2021, seorang kanak-kanak berusia dua tahun menemui pistol yang ditinggalkan dalam beg galas 'Paw Patrol' dan menembak mati ibunya di kepala semasa dia sedang dalam sidang video. -AFP