DAMSYIK, 12 Januari - Pemimpin baharu Syria dan Perdana Menteri Lubnan berikrar untuk membina hubungan yang kekal semasa lawatan pertama ketua kerajaan Lubnan ke Damsyik sejak perang saudara bermula pada 2011.
Lawatan Perdana Menteri, Najib Mikati itu dilakukan selepas kejatuhan bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad ditangan penentang kerajaan.
Kerajaan Lubnan sebelum ini mengelakkan lawatan ke Syria berikutan ketegangan di dalam negara mengenai sokongan kumpulan Hizbullah terhadap Assad sepanjang konflik tersebut.
Pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, berkata beliau berharap dapat membuka lembaran baharu dalam hubungan antara kedua negara, beberapa hari selepas Lubnan yang dilanda krisis akhirnya memilih seorang presiden minggu ini selepas dua tahun kebuntuan.
"Akan ada hubungan strategik jangka panjang antara kami dan Lubnan. Kami dan Lubnan mempunyai kepentingan bersama yang besar," kata Sharaa.
Ia adalah masa untuk "memberi peluang kepada rakyat Syria dan Lubnan untuk membina hubungan yang positif," tambahnya, sambil berharap kepimpinan Joseph Aoun sebagai Presiden akan membawa kepada era kestabilan di Lubnan.
Sharaa berkata, Syria yang baharu akan "berada pada jarak yang sama dari semua pihak" di Lubnan dan "berusaha menyelesaikan masalah melalui rundingan dan dialog".
Mikati pula berkata, hubungan harus didasarkan pada "menghormati antara satu sama lain, kesaksamaan, dan kedaulatan negara."
Pihak berkuasa baharu di Syria juga berkata Sharaa telah menelefon Aoun untuk mengucapkan tahniah pada hari Sabtu.
Syria pernah menjadi kuasa dominan di Lubnan selama tiga dekad di bawah keluarga Assad, dengan presiden Hafez al-Assad campur tangan dalam perang saudara Lubnan dari 1975 hingga 1990 dan anaknya, Bashar al-Assad, hanya menarik balik tentera Syria pada 2005 selepas protes besar-besaran yang tercetus akibat pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafic Hariri.
Setelah memperbaiki hubungan dengan Damsyik, anaknya Saad Hariri merupakan Perdana Menteri Lubnan terakhir yang melawat ibu kota Syria pada 2010 sebelum perang saudara.
Setelah dilantik pada hari Khamis, Aoun berikrar untuk merebut "peluang bersejarah untuk memulakan dialog serius... dengan negara Syria."
Dengan Hizbullah yang lemah selepas dua bulan perang berskala penuh dengan Israel pada akhir tahun lalu dan Assad kini tiada, pemimpin Syria dan Lubnan nampaknya bersemangat untuk bekerja menyelesaikan isu-isu yang telah lama tertangguh.
Antaranya adalah kehadiran kira-kira dua juta pelarian Syria yang dikatakan telah mencari perlindungan di Lubnan sejak perang Syria bermula.
Kepulangan mereka ke Syria telah menjadi "perkara yang mendesak demi kepentingan kedua-dua negara," kata Mikati.
Pihak berkuasa Lubnan sering mengadu bahawa menampung begitu banyak pelarian Syria telah menjadi beban kepada negara kecil itu yang sejak 2019 dilanda krisis ekonomi paling teruk.
Mikati juga berkata adalah keutamaan "untuk menggubal sempadan darat dan laut antara Lubnan dan Syria," dan menyeru penubuhan jawatankuasa bersama untuk membincangkan perkara tersebut.
Di bawah Assad, Syria berulang kali menolak untuk menetapkan sempadannya dengan jiran.
Lubnan berharap dapat menarik sempadan maritim untuk memulakan pengeluaran gas luar pesisir selepas mencapai persetujuan serupa dengan Israel pada 2022.
Perdana Menteri Lubnan berkata kedua-dua pihak telah menekankan keperluan untuk "pengawalan sepenuhnya sempadan (daratan), terutama di titik-titik penyeludupan haram, bagi membendung penyeludupan."
Syria berkongsi sempadan sepanjang 330km dengan Lubnan dengan beberapa titik tanpa penetapan rasmi, menjadikannya mudah ditembusi dan terdedah kepada penyeludupan.
Syria mengenakan sekatan baharu terhadap kemasukan warganegara Lubnan minggu lalu, berikutan apa yang dikatakan tentera Lubnan sebagai pertempuran sempadan dengan pihak Syria yang bersenjata.
Warganegara Lubnan sebelum ini dibenarkan memasuki Syria tanpa visa.
Beberapa tokoh asing telah mengunjungi Damsyik dalam beberapa minggu terakhir untuk bertemu dengan pemimpin baru, termasuk delegasi dari Oman yang turut berada di sana pada hari Sabtu.
Berbeza dengan negara-negara Teluk Arab lain, Oman tidak pernah memutuskan hubungan diplomatik dengan Assad sepanjang perang.
Menteri luar Itali, Antonio Tajani, melawat Damsyik pada hari Jumaat, sementara Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, dan rakan sejawatannya dari Jerman, Annalena Baerbock, melawat minggu lalu.
Shaibani telah melawat Arab Saudi, UAE, Qatar dan Jordan bulan ini, dan berkata pada hari Jumaat beliau akan menuju ke Eropah tidak lama lagi.
Perang Syria telah meragut lebih daripada setengah juta nyawa dan merosakkan ekonomi negara itu sejak bermula pada 2011 dengan tindakan keras terhadap protes anti-Assad.-AFP