fb fb fb fb fb

Sekatan terhadap sektor tenaga, Rusia kecam tindakan AS

Foto REUTERS

MOSCOW, 12 Januari- Kementerian Luar Negeri Rusia pada Sabtu mengecam sekatan baharu yang dilaksanakan Amerika Syarikat terhadap sektor tenaga negara itu dan menyifatkannya sebagai cubaan untuk merosakkan ekonomi Rusia walaupun berisiko mengganggu kestabilan pasaran global.

Rusia turut menegaskan bahawa negara berkenaan akan meneruskan projek minyak dan gas berskala besar.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu menyatakan bahawa tindakan AS itu adalah usaha untuk menjejaskan ekonomi Rusia walaupun berisiko mengganggu pasaran dunia, ketika penghujung pentadbiran Presiden Joe Biden yang kurang cemerlang semakin hampir.

"Walaupun berdepan pergolakan di White House dan usaha lobi Russophobia di Barat yang cuba menyeret sektor tenaga dunia ke dalam perang hibrid yang dicetuskan Amerika Syarikat terhadap Rusia, negara kita (Rusia) tetap menjadi pemain utama dan boleh dipercayai dalam pasaran bahan api global," kata kenyataan itu.

Langkah sekatan ini adalah pakej tebesar oleh AS setakat ini, yang menyasarkan hasil minyak dan gas Rusia.

Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memberi tekanan kepada Moscow dan pentadbiran baharu Donald Trump yang akan datang bagi mencapai perjanjian untuk menamatkan perang di Ukraine.

Jabatan Perbendaharaan AS mengenakan sekatan ke atas Gazprom Neft (SIBN.MM), Surgutneftegas, serta 183 kapal yang digunakan untuk menghantar minyak Rusia, termasuk kapal-kapal dari "armada bayangan" yang dioperasikan oleh syarikat bukan Barat.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, menyambut baik langkah ini dengan menyatakan ia akan memberikan tamparan besar kepada Moscow.

"Semakin kurang hasil yang diperoleh Rusia daripada minyak, semakin cepat keamanan akan dikembalikan," kata beliau.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD