fb fb fb fb fb

2 maut dalam kemalangan bas ekspres di Jerman

Kemalangan berlaku di lebuh raya A11 di Jerman berhampiran sempadan Poland dan melibatkan bas jarak jauh yang sedang dalam perjalanan dari Berlin ke Szczecin / FOTO X

BERLIN, 12 Januari- Dua orang terbunuh pada Sabtu dalam satu kemalangan melibatkan sebuah bas Flixbus yang sedang dalam perjalanan antara Jerman dan Poland, menurut kenyataan syarikat itu.

Syarikat bas kos rendah itu menyatakan bahawa kemalangan tersebut berlaku sekitar puul 3.00 petang di lebuh raya A11 di Jerman berhampiran sempadan Poland dan melibatkan bas jarak jauh yang sedang dalam perjalanan dari Berlin ke Szczecin.

"Berdasarkan maklumat semasa, 13 penumpang dan seorang pemandu berada di dalam bas tersebut. Dua orang maut dalam kemalangan itu," menurut kenyataan tersebut, sambil menambah bahawa mangsa yang terselamat telah dibawa ke hospital tempatan.

"Punca sebenar kemalangan masih belum diketahui," kata syarikat itu.

Pihak polis di negeri Brandenburg dalam kenyataan mereka menyebut, bas tersebut telah terbabas dari jalan raya akibat keadaan cuaca buruk dan kemudian terbalik.

Mereka memaklumkan bahawa mangsa yang maut adalah seorang wanita berusia 29 tahun dan seorang lelaki berusia 48 tahun.

Pendakwa raya telah melantik seorang pakar untuk menyiasat punca kemalangan tersebut.

Gambar dari lokasi kejadian yang diterbitkan oleh media Jerman menunjukkan kenderaan tersebut dalam keadaan terbalik di tepi jalan yang diliputi salji, dengan cermin depannya pecah.

Pada Mac 2024, empat orang maut dan lebih 30 orang cedera apabila sebuah bas Flixbus yang sedang dalam perjalanan antara Berlin dan Zurich terbalik di lebuh raya berhampiran bandar Leipzig di timur.

Syarikat yang berpangkalan di Jerman ini mengendalikan rangkaian laluan bas jarak jauh yang luas di beberapa negara Eropah, Amerika Syarikat, dan Maghribi.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE