RIYADH, 12 Januari- Pemimpin diplomatik dari Asia Barat dan Eropah dijadualkan berkumpul di sini pada Ahad bagi membincangkan situasi di Syria ketika dunia berusaha mencapai kestabilan selepas kejatuhan Bashar al-Assad.
Perbincangan ini akan berlangsung dalam dua sesi. Sesi pertama melibatkan pegawai Arab, manakala sesi kedua menyaksikan penyertaan lebih luas termasuk dari Turki, Perancis, Kesatuan Eropah (EU), dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), menurut seorang pegawai Arab Saudi pada Sabtu.
Pertemuan itu diadakan ketika pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, sedang berusaha untuk mendapatkan pelepasan sekatan.
Kuasa Barat, termasuk Amerika Syarikat dan EU, telah mengenakan sekatan terhadap kerajaan Assad berikutan tindakan kerasnya terhadap tunjuk perasaan antikerajaan pada tahun 2011, yang mencetuskan perang saudara.
Konflik lebih 13 tahun di Syria telah meragut lebih setengah juta nyawa, menghancurkan ekonomi, dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal, termasuk ramai yang melarikan diri ke Eropah.
Ketua diplomat EU, Kaja Kallas, pada Jumaat berkata blok 27 negara itu boleh mula menarik balik sekatan jika pemimpin baharu Syria mengambil langkah untuk membentuk kerajaan inklusif yang melindungi kaum minoriti.
Arab Saudi memutuskan hubungan dengan kerajaan Assad pada tahun 2012 dan selama ini secara terbuka menyokong penyingkirannya.
Namun, pada 2023, ia menjadi tuan rumah pertemuan Liga Arab di mana Assad diterima kembali dalam kalangan negara serantau.
Bulan ini, Arab Saudi, yang merupakan ekonomi terbesar di Asia Barat, telah menghantar bekalan makanan, tempat perlindungan, dan perubatan ke Syria melalui darat dan udara.
Riyadh kini sedang merundingkan proses untuk menyokong peralihan negara yang terkesan akibat perang itu.
"Sidang kemuncak ini menghantar mesej bahawa Arab Saudi mahu memimpin usaha serantau untuk menyokong pemulihan Syria," kata Anna Jacobs, felo bukan pemastautin di Institut Negara Teluk Arab di Washington.
"Namun, persoalan besar ialah berapa banyak masa dan sumber yang akan diperuntukkan Arab Saudi untuk usaha ini?
"Dan apa yang mungkin dilakukan dengan banyak sekatan masih berkuat kuasa?, katanya.
Pertemuan pada Ahad adalah lanjutan daripada perbincangan mengenai pasca-Assad Syria yang diadakan bulan lalu di Jordan, menurut pegawai Arab Saudi itu.
Menteri luar Turki dan Jerman adalah antara pegawai yang telah mengesahkan kehadiran mereka setakat Sabtu malam.
Timbalan Setiausaha Negara AS, John Bass, juga dijangka hadir selepas menghadiri perbincangan di Turki yang antara lain membincangkan kepentingan kestabilan serantau, mencegah Syria digunakan sebagai pangkalan keganasan, dan memastikan kekalahan berterusan kumpulan Negara Islam (IS), menurut Jabatan Negara AS.
Arab Saudi mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati terhadap pentadbiran baharu Syria berbanding Turki dan Qatar, yang merupakan negara pertama membuka semula kedutaan di Damsyik selepas kejatuhan Assad, kata Umer Karim, pakar politik Arab Saudi di Universiti Birmingham.
Namun, Riyadh sedang "mendekati secara positif" pemimpin baharu di Syria sambil memantau sama ada mereka mampu membawa kestabilan dan "mengawal elemen ekstrem dalam kalangan mereka", tambah Karim.
Perhimpunan pada Ahad ini "memberi peluang kepada Riyadh untuk meningkatkan pengaruhnya dengan kerajaan baharu Syria dan membina pengaruh yang lebih besar di negara yang kini lebih dipengaruhi oleh Turki dan Qatar," kata Jacobs.-AFP.