fb fb fb fb fb

Syria bentuk jawatankuasa rangka perlembagaan baharu

Pemimpin sementara Syria, Ahmed al-Sharaa (tengah), bertemu dengan ahli jawatankuasa bagi merangka perisytiharan perlembagaan untuk fasa peralihan negara selepas penggulingan pemerintah lama, Bashar al-Assad, di Damsyik pada 2 Mac 2025. / Foto AFP

DAMSYIK, 3 Mac-Presiden sementara Syria, Ahmed al-Sharaa, mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa khas bagi merangka perisytiharan perlembagaan baharu negara tersebut selepas kejatuhan Bashar al-Assad.

Dalam satu kenyataan, pejabat presiden memaklumkan bahawa jawatankuasa berkenaan terdiri daripada tujuh orang pakar, termasuk dua wanita, yang ditugaskan untuk merangka "perisytiharan perlembagaan yang akan mengatur fasa peralihan" di Syria.

"Jawatankuasa ini akan mengemukakan cadangannya kepada presiden," menurut kenyataan itu tanpa menyebut tempoh masa yang ditetapkan untuk tugasan tersebut.

Pihak berkuasa baharu Syria telah memansuhkan perlembagaan era Assad, dan Sharaa menyatakan bahawa proses penggubalan perlembagaan baharu boleh mengambil masa sehingga tiga tahun.

Pengumuman dibuat berdasarkan aspirasi rakyat Syria untuk membina sebuah negara berlandaskan undang-undang" serta berpandukan hasil Persidangan Dialog Nasional Syria yang diadakan minggu ini di sini.

Langkah itu juga bertujuan "menyediakan rangka kerja perundangan yang mengatur fasa peralihan", tambah kenyataan itu.

Pihak berkuasa baharu Syria kini menumpukan usaha membangunkan semula negara berkenaan selepas penggulingan Assad pada 8 Disember tahun lepas, yang menamatkan lebih setengah abad pemerintahan keluarganya serta 13 tahun peperangan yang menghancurkan negara itu.

Pada akhir Januari lalu, Sharaa, yang merupakan pemimpin kumpulan Islamis Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang memainkan peranan utama dalam penggulingan Assad, telah dilantik sebagai presiden sementara bagi tempoh yang tidak dinyatakan.

Konflik di Syria bermula pada tahun 2011 selepas Assad bertindak keras terhadap tunjuk perasaan rakyat yang menuntut perubahan politik.

Peperangan tersebut kemudiannya berkembang menjadi konflik yang lebih kompleks dan berlarutan, mengorbankan lebih daripada 500,000 nyawa serta menyebabkan jutaan rakyat Syria kehilangan tempat tinggal sama ada dalam negara mahupun sebagai pelarian di luar negara.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD