fb fb fb fb fb

Robert F. Kennedy Jr. sokong penggunaan vaksin campak

Seorang paramedik memberikan dos vaksin campak di sebuah pusat kesihatan di Lubbock, Texas, pada 27 Februari 2025. / Foto AFP

WASHINGTON, 3 Mac – Setiausaha Kesihatan AS, Robert F. Kennedy Jr., yang dikenali kerna bersikap skeptikal terhadap vaksin, menyuarakan sokongan terhadap penggunaan vaksin campak pada Ahad ketika wabak penyakit itu terus merebak di barat daya Negara 'Uncle Sam itu.

Seorang kanak-kanak yang tidak divaksin meninggal dunia di Texas pada Februari lepas, menjadikannya kematian pertama akibat campak di AS dalam tempoh sedekad.

Kennedy, yang baru-baru ini dilantik sebagai Setiausaha Kesihatan, sebelum ini sering membuat dakwaan yang mengelirukan mengenai keselamatan vaksin campak, beguk, dan rubela (MMR).

Beliau juga pernah meremehkan peningkatan kes, dengan mengatakan wabak tahunan adalah perkara biasa.

Namun, dalam satu artikel pendapat yang diterbitkan oleh Fox News pada Ahad, Kennedy mengubah pendiriannya dengan menyatakan bahawa beliau "amat bimbang tentang wabak campak yang sedang berlaku."

“Vaksin bukan sahaja melindungi kanak-kanak secara individu daripada campak, tetapi juga menyumbang kepada imuniti komuniti, melindungi mereka yang tidak dapat divaksin atas sebab kesihatan,” tulis Kennedy.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa “keputusan untuk mengambil vaksin adalah pilihan peribadi” dan menggesa ibu bapa untuk berbincang dengan pakar perubatan mengenai pilihan mereka untuk mendapatkan vaksin MMR.

Kennedy berkata beliau telah mengarahkan agensi kesihatan persekutuan, termasuk Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), untuk membantu pihak berkuasa kesihatan di Texas menangani wabak tersebut.

CDC melaporkan lebih daripada 160 kes campak di seluruh negara sehingga akhir Februari, dengan kebanyakan kes tertumpu di timur Texas.

Manakala Jabatan Kesihatan Texas pula mengesahkan 146 kes sejak akhir Januari.

Wabak terbaharu ini dikaitkan dengan sebuah komuniti agama Mennonite yang sering menunjukkan keraguan terhadap vaksin.

Walaupun campak telah diumumkan sebagai penyakit yang dihapuskan di AS pada tahun 2000, wabak tetap berlaku setiap tahun akibat penurunan kadar imunisasi.

Menurut CDC, vaksin campak sangat berkesan dalam memberikan imuniti sepanjang hayat, dengan dua dos dianggarkan 97 peratus berkesan dalam mencegah jangkitan.

Namun, usaha kesihatan awam berdepan cabaran besar apabila pentadbiran Presiden Donald Trump melaksanakan pemotongan kakitangan dalam beberapa agensi kesihatan persekutuan, termasuk CDC.

“Petugas kesihatan, pegawai dan masyarakat bertanggungjawab untuk memastikan maklumat tepat tentang keselamatan dan keberkesanan vaksin disebarkan serta menjadikan vaksin mudah diakses oleh mereka yang memerlukannya,” kata Kennedy.

Beliau turut menepis tuduhan bahawa dirinya antivaksin, dengan mendakwa bahawa pandangannya telah disalah tafsir dan menegaskan beliau hanya memperjuangkan dasar yang "lebih berasaskan akal dan logik."-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD