TOKYO, 3 Mac– Hampir 1,700 anggota bomba berusaha memadam kebakaran hutan di Jepun dalam tempoh tiga dekad, kata pegawai pada Isnin,
Pihak bomba negara berkenaan turut memaklumkan kira-kira 4,600 penduduk masih berada di bawah arahan pemindahan.
Seorang individu dilaporkan maut minggu lalu akibat kebakaran di wilayah utara Iwate susulan musim kemarau serta musim panas paling panas dalam sejarah Jepun tahun lepas.
Setakat ini, kebakaran berhampiran bandar Ofunato telah memusnahkan sekitar 2,100 hektar (4,450 ekar) sejak Khamis lalu, menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana Jepun.
Pasukan bomba dari 14 wilayah, termasuk unit dari Tokyo, telah dikerahkan untuk mengawal kebakaran, dengan bantuan 16 helikopter, termasuk dari pasukan tentera bagi usaha pemadaman udara.
Kira-kira 84 bangunan rosak dalam kejadian kebakaran berkenaan, namun butiran lanjut masih dalam penilaian.
Lebih 2,000 penduduk telah berpindah ke rumah saudara atau rakan, manakala lebih 1,200 orang mencari perlindungan di pusat pemindahan, menurut pegawai tempatan.
Rakaman awal pagi di Ofunato yang disiarkan oleh NHK menunjukkan api jingga marak berhampiran bangunan, dengan asap putih berkepul-kepul ke udara.
Meskipun jumlah kebakaran hutan di Jepun menurun pada tahun 1970-an, sekitar 1,300 kejadian direkodkan pada 2023, kebanyakannya berlaku antara Februari hingga April iaitu tempoh di mana udara kering dan angin bertiup lebih kencang.
Ofunato hanya menerima 2.5 milimeter (0.1 inci) hujan sepanjang Februari, jauh lebih rendah daripada purata bulanan biasa sebanyak 41 milimeter dan memecahkan rekod terdahulu iaitu 4.4 milimeter pada tahun 1967.-AFP.