fb fb fb fb fb

Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi, meninggal dunia pada usia 96 tahun

(Ulama Mesir yang juga pengasas Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa (IUMS)
dan tokoh penting Ikhwanul Muslimin, Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi/AFP)


DOHA, 26 September- Ulama terkenal, Yusuf Abdullah al-Qaradawi, meninggal dunia pada usia 96 tahun, menurut satu pengumuman di Twitter rasmi Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa (IUMS).

Allahyarham meninggalkan legasi penulisan yang kini menjadi rujukan kepada umat Islam di serata dunia.

“Imam Yusuf al-Qaradawi meninggal dunia selepas mengabdikan hidupnya untuk memperkenalkan Islam dan membela masyarakatnya,” menurut hantaran Twitter berkenaan.

"Dunia Islam kehilangan seorang ulama dan guru yang jujur, alim, dihormati lagi disegani," kata IUMS, yang juga persatuan diasaskan oleh Qaradawi, menerusi Twitter.

Namun hantaran twiter berkenaan tidak memberikan butiran mengenai punca kematian pemimpin kerohanian gerakan Ikhwanul Muslimin Mesir.

Gerakan Ikhwanul ditubuhkan pada tahun 1928, sebagai gerakan pembangkang utama di Mesir, dan juga di negara lain di rantau ini.

Kaherah menyenaraihitamkan pergerakan itu sebagai organisasi pengganas pada 2013, dan sejak itu telah memenjarakan beribu-ribu ahli dan penyokongnya.

Kumpulan Islamis itu secara konsisten menafikan sebarang kaitan dengan keganasan.

Anak perempuan Qaradawi, Ola, telah ditahan di Mesir selama empat setengah tahun kerana mempunyai kaitan dengan Ikhwan.

(Perdana Menteri Hamas Ismail Haniyeh (kiri) memegang tangan Ulama Mesir dan pengerusi Kesatuan Ulama
Islam
 Antarabangsa Syeikh Yusuf al-Qaradawi (kanan) sejurus ketibaan beliau di Rafah
Semenanjung Gaza pada 8 Mei 2013/AFP)


Ola bagaimanapun dibebaskan tahun lalu tetapi masih menjalani perbicaraan lanjut di mahkamah.

Ulama itu mengetuai Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa, sebuah persatuan Sunni, dan rangkaian Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar kerap menyiarkan khutbahnya.

Dia juga menubuhkan IslamOnline, sebuah laman web yang menerbitkan panduan untuk umat Islam berhubung pelbagai isu kerohanian Islam.-AFP

Media Baharu