(Pelancaran prosedur domestik ratifikasi UNFP adalah satu langkah penting untuk memelihara
keamanan dan kestabilan serantau dan antarabangsa/FOTO HIASAN REUTERS)
NEW YORK, 26 September- China melancarkan prosedur domestik untuk meratifikasi Protokol Senjata Api Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFP) sebagai usaha memantapkan pelaksanaan Inisiatif Keselamatan Global.
Keputusan itu diumumkan ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar Wang Yi ketika menyampaikan ucapan pada Debat Umum sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, di sini pada Sabtu.
Pelancaran prosedur undang-undang berkenaan satu langkah penting untuk memelihara keamanan dan kestabilan serantau dan antarabangsa.
“Ia juga mencerminkan keazaman China dalam menyokong multilateralisme dan mengamalkan konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan,” katanya.
Berkuat kuasa Julai 2005 dengan sebanyak 122 negara penandatangan setakat ini, protokol itu bertujuan menyeragamkan piawaian antarabangsa mengenai pembuatan, import dan eksport serta pengurusan senjata api, di samping mengukuhkan kerjasama global dalam membanteras jenayah rentas sempadan yang berkaitan.
(China terus meningkatkan pengawalan senjata api di dalam negeri menerusi tindakan praktikal dari segi
perundangan, kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang/REUTERS)
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China terus meningkatkan pengawalan senjata api di dalam negeri menerusi tindakan praktikal dari segi perundangan, kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang.
Selain menunaikan kewajipan antarabangsa, China juga aktif menyertai kerjasama berkenaan di peringkat global sekali gus menyumbang kepada usaha membanteras kegiatan penyeludupan senjata api. -BERNAMA