fb fb fb fb fb

Syarikat induk Uniqlo naikkan gaji hingga 40 peratus

(FOTO AFP)

TOKYO, 11 Januari- Syarikat induk Uniqlo, Fast Retailing pada Selasa memaklumkan akan menaikkan sehingga 40 peratus gaji ribuan pekerjanya di Jepun bagi membantu menjadikan syarikat itu lebih berdaya saing di peringkat global.

Peningkatan gaji akan membabitkan kira-kira seramai 8,400 pekerja sepenuh masa daripada 56,000 yang bekerja untuk syarikat induk Fast Retailing di Jepun.

Bagaimanapun, peningkatan gaji itu berbeza-beza mengikut kategori kakitangan, dengan pekerja yang baru sertai syarikat itu mungkin mengalami kenaikan kurang daripada 20 peratus, sementara mereka di peringkat jawatan pengurusan atau lebih berpengalaman bakal memperoleh peningkatan pendapatan sehingga 40 peratus lebih setahun.

Dalam satu kenyataan, Fast Retailing berkata dengan peningkatan gaji, diharapkan dapat membawa kepada 'pertumbuhan individu' dan seterusnya, 'memberi daya saing global yang lebih besar'.

Selain kenaikan gaji, pelarasan lain juga akan dibuat bersama-sama gaji pekerja sambilan yang diumumkan tahun lalu, akan menyaksikan kos kakitangan Fast Retailing di Jepun meningkat kira-kira 15 peratus.

(Rangkaian kedai Uniqlo di Tokyo/AFP)

Langkah itu diambil ketika inflasi Jepun berada pada 3.7 peratus pada November, iaitu angka tertinggi sejak 1981, selain gesaan Perdana Menteri, Fumio Kishida yang meminta majikan memberikan gaji yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, Fast Retailing tidak mengaitkan keadaan ekonomi Jepun ketika syarikat itu mengumumkan kenaikan gaji, sebaliknya mengatakan gaji itu berdasarkan kriteria 'diselaraskan secara global'. - AFP

Media Baharu