fb fb fb fb fb

Switzerland sekat pemindahan senjata, APC ke Ukraine

APC Piranha III

GENEVA, 4 Jun- Switzerland bertegas tidak akan membenarkan peralatan perang negara itu dipindahkan melalui negara ketiga ke Ukraine, selaras dengan dasar berkecuali tenteranya yang ketat.

Bagaimanapun ia memutuskan bahawa bahagian individu dan pakej pemasangan boleh dihantar kepada syarikat pertahanan Eropah walaupun ia akan digunakan untuk menghasilkan bahan perang yang kemudiannya mungkin dipindahkan ke Ukraine.

Switzerland berkata ia telah menerima permintaan daripada Jerman dan Denmark untuk memindahkan peralatan perang ke Ukraine.

(Mowag Piranha III 8×8 buatan Switzerland)

Permintaan Jerman melibatkan kira-kira 12,400 butir peluru 35 milimeter yang dihasilkan oleh Switzerland untuk meriam antipesawat dan pengangkut kakitangan berperisai (APC) beroda Piranha III yang pada asalnya dibeli oleh Denmark dan telah disimpan di Jerman sejak ia ditamatkan perkhidmatan.

Bawah Akta Material Perang Switzerland, permintaan eksport tidak boleh diluluskan jika negara penerima berada dalam konflik bersenjata antarabangsa.

"Memandangkan eksport barangan sedemikian dari Switzerland ke Ukraine tidak boleh diluluskan kerana undang-undang dasar berkecuali mengenai layanan sama rata dan peruntukan Akta Material Perang, maka adalah tidak mungkin untuk meluluskan pemindahan bahan perang Switzerland oleh Jerman dan Denmark ke Ukraine," kata Majlis Persekutuan kerajaan dalam satu kenyataan. -AFP

Media Baharu