(Presiden Switzerland, Ignazio Cassis/Foto fail Reuters)
GENEVA, 3 November- Switzerland pada Rabu bersetuju menyalurkan bantuan AS$100 juta kepada Ukraine.
Usaha tersebut bagi membantu menyediakan air minuman selain memulihkan infrastruktur tenaga yang rosak akibat konflik dengan Moscow.
Kenyataan Majlis Persekutuan Switzerland menyebut, ia mengguna pakai pelan tindakan mengurangkan kesan musim sejuk akan datang terhadap rakyat Ukraine.
Semasa pertemuan di Kiev bulan lalu, Presiden Switzerland, Ignazio Cassis serta rakan sejawatannya, Volodymyr Zelensky telah membincangkan langkah terbaik untuk melindungi rakyat Ukraine yang terjejas akibat perang, menjelang musim sejuk yang semakin hampir.
Ia menegaskan bahawa situasi kemanusiaan yang sudah teruk di Ukraine telah "menjadi lebih tidak menentu dalam minggu kebelakangan ini disebabkan oleh serangan yang disasarkan ke atas infrastruktur tenaga dan sistem bekalan asas".
(Gambar yang diambil pada 1 November 2022, menunjukkan bangunan
sekolah yang musnah di kampung, di luar Mykolaiv, selatan Ukraine/Foto AFP)
Kira-kira 18 juta penduduk Ukraine hanya bergantung kepada bantuan sejak pencerobohan tentera pada Februari lepas.
"Dengan bermulanya musim sejuk, jumlah tersebut mungkin meningkat kepada 24 juta," kata kenyataan itu, kerana kira-kira satu pertiga daripada infrastruktur tenaga Ukraine telah rosak.-AFP