fb fb fb fb fb

Suspek tikam lima individu di Marseille ditembak mati

Polis menutup kawasan kejadian dan mendirikan khemah forensik/ AFP

MARSEILLE, 2 September – Polis Perancis menembak mati seorang lelaki yang disyaki menikam sekurang-kurangnya lima individu di bandar pelabuhan Marseille, selatan Perancis, pada Selasa, dengan seorang mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Pendakwa raya Nicolas Bessone dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek merupakan warga Tunisia yang mempunyai status sah di Perancis. Lelaki berkenaan dipercayai menikam pengurus sebuah hotel selepas dia diusir kerana gagal membuat pembayaran.

Suspek turut menyerang anak pengurus hotel, seorang tetamu hotel yang mengalami kecederaan paling serius, serta dua orang pejalan kaki.

Pihak polis yang tiba di lokasi kemudiannya menembak mati suspek, kata sumber polis yang enggan dikenali.

Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau dijadualkan melawat Marseille pada petang Selasa, termasuk mengunjungi ibu pejabat polis di bandar berkenaan.

Seorang penduduk yang menyaksikan kejadian memaklumkan bahawa suspek cuba menikam anggota polis ketika mereka cuba menahannya.

Seorang lagi saksi mendakwa lelaki itu memegang "dua bilah pisau pemotong daging bersaiz besar".

Polis telah menutup kawasan kejadian dan mendirikan khemah forensik di hadapan sebuah restoran makanan segera.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI