ANTANANARIVO, 2 September – Madagascar mengadakan upacara pada Selasa bagi menyambut pemulangan tengkorak tiga lelaki yang dibunuh tentera Perancis 128 tahun lalu, termasuk salah satu daripadanya dipercayai milik seorang raja yang dipenggal.
Perancis menyerahkan tengkorak berkenaan di Paris pada 27 Ogos, dalam pemulangan pertama seumpamanya sejak negara itu meluluskan undang-undang pada 2023 bagi memudahkan pemulangan sisa manusia yang dirampas ketika penaklukan kolonial.
Tengkorak itu dipercayai milik Raja Toera daripada kaum Sakalava, yang dipenggal tentera Perancis pada 1897, bersama dua orang pahlawannya.
Sisa berkenaan tiba di Madagascar pada Isnin dan disambut ahli kumpulan Sakalava berpakaian tradisional di lapangan terbang.
Ia dibawa dalam tiga kotak yang dilitupi bendera Madagascar itu dan diarak melalui ibu kota Antananarivo menuju ke makam bandar tersebut. Ketiga-tiga tengkorak itu disambut Presiden Madagascar Andry Rajoelina bersama pegawai kerajaan dan pembesar Sakalava.
"Jika kita mahu maju, kita mesti mengetahui masa lalu dan sejarah kita. Kami berbangga mempunyai seorang raja dan pahlawan yang mempertahankan negara," katanya memuji keberanian rakyat yang bangkit menentang tentera kolonial Perancis 'dengan penuh keberanian'.
Cicit Raja Toera, Raja Sakalava yang baru ditabalkan, Georges Harea Kamamy, menyiram air dari Sungai Tsiribihina sebagai tanda menyambut kepulangan sisa nenek moyangnya.
"Kami, masyarakat Sakalava, berasa lega. Hari ini adalah hari kegembiraan," katanya.
Namun, beliau kesal kerana tengkorak itu diserahkan kepada kerajaan Madagascar, bukannya kepada keluarga diraja.
Tengkorak berkenaan akan melalui perjalanan sejauh 800 kilometer ke kawasan pantai barat Menabe selama empat hari, sebelum dikebumikan akhir minggu ini.
Tengkorak yang dipercayai milik raja akan disemadikan bersama rangka baginda di sebuah makam di Ambiky, lokasi baginda dibunuh pada 1897.
"Ini adalah sumber kebanggaan dan ketenangan jiwa apabila nenek moyang kami kembali bersama kami," kata seorang keturunan diraja dan pemimpin kedua Sakalava, Joe Kamamy.
Beliau membayangkan wujud perbezaan pendapat dalam keluarga diraja mengenai lokasi akhir sisa tersebut.
"Saya hanya ada satu kekesalan: tengkorak ini tidak disimpan di Mitsinjo (di tengah barat), bersama relik raja-raja Sakalava yang lain," katanya.
Selepas kejatuhan Ambiky pada 1897, tengkorak itu dibawa ke Perancis sebagai trofi dan disimpan di muzium sejarah nasional Paris bersama ratusan sisa lain dari Madagaskar.
Perancis dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah memulangkan pelbagai artifak yang dirampas pada zaman penjajahannya. Namun, setiap pemulangan memerlukan undang-undang khas sehingga Parlimen meluluskan undang-undang 2023 yang mempermudah pemulangan sisa manusia ke negara masing-masing.- AFP