fb fb fb fb fb

Mahkamah Agung Brazil mula perbicaraan kes melibatkan Jair Bolsonaro

Alexandre de Moraes/ AFP

BRASILIA, 2 September – Mahkamah Agung Brazil pada Selasa memulakan proses perbicaraan bagi menentukan keputusan kes melibatkan bekas presiden, Jair Bolsonaro, yang didakwa merancang rampasan kuasa selepas tewas pada pilihan raya 2022.

Dalam kenyataan pembukaan sesi yang dijangka berlangsung beberapa hari, Hakim Alexandre de Moraes menyatakan Bolsonaro didakwa berniat menubuhkan 'kediktatoran sebenar' melalui pemberontakan yang dilancarkan.

Menurut beliau, mahkamah tertinggi itu akan bertindak secara bebas tanpa terpengaruh daripada sebarang tekanan dalaman atau luaran, meskipun ketika Brazil berdepan ketegangan politik dan tekanan luar biasa daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Bolsonaro, 70 tahun, berdepan hukuman penjara melebihi 40 tahun jika didapati bersalah atas tuduhan berkonspirasi untuk mengekalkan kuasa selepas kekalahan kepada pesaing daripada blok kiri yang kini menjadi presiden, Luiz Inacio Lula da Silva.

Keputusan terhadap beliau dan tujuh lagi tertuduh, termasuk beberapa bekas menteri dan jeneral, dijangka diumumkan selewat-lewatnya 12 September ini.

Bekas pegawai tentera itu kini berada dalam tahanan rumah, tidak dijangka hadir di mahkamah Brasilia.

Perbicaraan itu adalah yang pertama membabitkan bekas presiden Brazil atas tuduhan rampasan kuasa, sekali gus mencetuskan ketegangan di negara terbesar Amerika Latin itu – dipanaskan lagi sokongan luar biasa daripada Donald Trump terhadap Bolsonaro.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI