NEW DELHI, 2 September – Ratusan kampung dan kawasan pertanian ditenggelami banjir susulan hujan lebat di negeri Punjab, utara India, pada Selasa.
Punjab, yang dikenali sebagai 'jelapang padi' India, dilanda hujan berterusan sejak dua minggu lalu sehingga menyebabkan sungai melimpah dan menenggelamkan kawasan sekitarnya.
Pasukan penyelamat memindahkan penduduk dari kampung terjejas menggunakan bot di daerah Amritsar, selain menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir.
Sementara itu, di ibu negara India, New Delhi, hujan lebat dalam tempoh 24 jam lalu mengakibatkan Sungai Yamuna melimpahi tebing dan menenggelamkan kawasan penempatan rendah berhampiran.
Keadaan itu juga menenggelamkan kawasan Majnu Ka Tila di Delhi. Jabatan Meteorologi India mengeluarkan amaran hujan lebat pada Selasa di beberapa kawasan termasuk Uttarakhand, Punjab dan Himachal Pradesh.
Menurut kenyataan Jabatan Cuaca India, negara itu dijangka menerima hujan monsun melebihi paras purata pada September selepas mencatatkan jumlah hujan lima peratus melebihi normal pada bulan Ogos.- REUTERS