fb fb fb fb fb

Lebih 900 maut dalam gempa di Afghanistan, PBB jangka angka korban meningkat

Mangsa yang terkorban susulan kejadian gempa di Afghanistan dengan magnitud 6.0/ AFP

GENEVA, 2 September – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa gempa bumi di timur Afghanistan yang meragut lebih 900 nyawa boleh menjejaskan 'ratusan ribu' penduduk, serta menjangka peningkatan mendadak angka korban.

Penyelaras Kemanusiaan PBB di Afghanistan, Indrika Ratwatte berkata, ribuan yang lain turut cedera akibat gempa bumi bermagnitud 6.0 yang melanda kawasan terpencil di wilayah pergunungan berhampiran sempadan Pakistan sekitar tengah malam Ahad, diikuti sekurang-kurangnya lima gegaran susulan.

"Kami menjangkakan jumlah individu terjejas boleh meningkat sehingga mencecah ratusan ribu orang. Angka ini pasti akan terus meningkat," katanya.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa terletak kira-kira 27 kilometer dari bandar Jalalabad pada kedalaman lapan kilometer di bawah permukaan bumi.

Kekuatan gegaran itu biasanya boleh menyebabkan kerosakan lebih teruk, khususnya kerana majoriti penduduk Afghanistan tinggal di rumah satu tingkat berstruktur bata lumpur.

Ratwatte menjelaskan bahawa rumah di kawasan terjejas kebanyakannya dibina dengan lumpur dan bumbung kayu.

"Apabila dinding runtuh, bumbung yang jatuh itulah yang menyebabkan kematian atau sesak nafas. Walaupun kawasan ini berpenduduk jarang, bencana berlaku pada waktu malam ketika semua sedang tidur, jadi saya percaya jumlah korban akan jauh lebih tinggi," tambahnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa gempa bumi tersebut mencetuskan banyak kejadian tanah runtuh dan jatuhan batu, sekali gus menyukarkan akses ke kawasan terjejas.

"Cabaran terbesar adalah untuk sampai ke kawasan pedalaman kerana jalan rosak teruk," katanya sambil menekankan keperluan penggunaan helikopter untuk menyelamatkan penduduk terjejas, memindahkan yang cedera, dan menghantar pasukan penyelamat serta perubatan.

Ratwatte menggesa masyarakat antarabangsa menunjukkan solidariti terhadap rakyat Afghanistan. Beliau juga kesal apabila rayuan bantuan sebanyak AS$2.4 bilion untuk rakyat Afghanistan tahun ini hanya dibiayai 28 peratus setakat ini.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI