fb fb fb fb fb

Rusa terkecil di dunia menghampiri status terancam

Pudu yang mengalami kecederaan dirawat sehingga sembuh/ REUTERS

CHILE, 2 September – Pudu, spesies rusa terkecil di dunia semakin menghampiri status terancam di Pulau Chiloe, selatan Chile, susulan peningkatan kes dilanggar kenderaan dan serangan anjing.

Menurut pakar veterinar dan kumpulan pemuliharaan ahun ini sahaja, puluhan pudu dilaporkan cedera atau mati di Pulau Chiloe - terletak di wilayah Los Lagos, terkenal dengan hutan tebal, komuniti desa kecil - yang jua merupakan populasi pudu.

Tahun ini sahaja, puluhan pudu dilaporkan cedera atau mati di pulau berkenaan, kebanyakannya akibat kecederaan parah.

Pusat hidupan liar Chiloe Silvestre merawat 18 ekor spesies itu dengan separuh daripadanya cedera akibat serangan anjing dan satu per tiga dilanggar kenderaan, kata Ketua Veterinar, Javiera Lopez.

Sementara itu Pengasas NGO Chiloe Silvestre, Javier Cabello, berkata saiz pudu yang kecil - menyamai saiz seekor kucing - menjadikan ia amat terdedah kepada ancaman.

Pudu memiliki mata besar, kaki halus dan sifat pemalu selain ia tidak mampu mengelak kenderaan yang dipandu laju atau serangan anjing agresif. Bagi spesies betina yang bunting, ia amat berisiko pada musim sejuk dan bunga.

Menurut laporan pemuliharaan kerajaan, tiada angka rasmi populasi pudu, namun jumlah keseluruhannya dianggarkan sekitar 10,000 ekor dengan sebahagian besar berada di Pulau Chiloe.

Pegawai unit kesihatan haiwan di Zoo Negara Chile, Natalia Duran berkata, populasi pudu di Pulau Chiloe menunjukkan trend penurunan, walaupun ia belum berlaku di tanah besar.

Kumpulan tempatan menggesa tindakan segera, termasuk cadangan memasang papan tanda jalan, pembinaan bonggol kelajuan, dan penggubalan 'Undang-Undang Pudu' bagi mengawal pergerakan bebas anjing di kawasan luar bandar.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI