CALIFORNIA, 19 Mei- Seorang maut dan empat cedera dalam satu insiden letupan bom di sebuah klinik kesihatan di Palm Springs, California pada Sabtu.
Menurut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Ahad mengenal pasti suspek utama ialah Guy Edward Bartkus, 25 tahun, yang dipercayai memegang fahaman nihilistik.
“Kami cukup yakin bahawa individu bernama Bartkus adalah suspek utama kami,” kata Penolong Pengarah FBI Pejabat Los Angeles, Akil Davis, dalam satu sidang media.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati letupan itu merupakan serangan yang disasarkan terhadap pusat rawatan persenyawaan in vitro (IVF) dan diklasifikasikan sebagai satu tindakan keganasan yang disengajakan.
“Suspek memiliki kecenderungan ideologi nihilistik dan serangan ini jelas disasarkan ke atas fasiliti IVF. Kami anggap insiden ini sebagai satu tindakan keganasan yang dirancang,” ujarnya.
Letupan tersebut berlaku sekitar pukul 11.00 pagi waktu tempatan pada Sabtu, di dalam atau berhampiran sebuah kenderaan yang diparkir di luar pusat berkenaan.
Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa tiada embrio yang disimpan di dalam fasiliti itu terjejas akibat letupan.
Menurut Davis, FBI percaya Bartkus turut terbunuh dalam letupan tersebut dan dipercayai cuba menyiarkan serangan itu secara langsung menerusi penstriman video.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif dan sebarang kaitan lain dalam insiden ini.- REUTERS