fb fb fb fb fb

100,000 berarak, desak Belanda henti sokong Israel

Foto Reuters

THE HAGUE, 19 Mei- Hampir 100,000 orang menyertai tunjuk perasaan besar-besaran di The Hague pada Ahad bagi membantah sokongan kerajaan Belanda terhadap Israel dan menggesa tindakan lebih tegas terhadap serangan rejim Zionis di Gaza.

Perhimpunan yang berlangsung di Dataran Malieveld itu dianjurkan di bawah slogan “Draw a Red Line for Gaza” dengan sokongan lebih 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa termasuk Amnesty International, Human Rights Watch dan Oxfam Novib.

Peserta protes mengenakan pakaian merah sebagai simbol gesaan untuk menetapkan sempadan moral terhadap keganasan di Gaza.

Penunjuk perasaan turut menuntut sekatan dikenakan, penghentian eksport senjata dan perubahan dasar luar yang menyeluruh.

Perarakan turut melalui Bangunan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Parlimen Belanda sebelum kembali ke dataran sambil melaungkan slogan seperti “Hentikan pembunuhan beramai-ramai”, “Bebaskan Palestin” dan “Tiada keadilan, tiada keamanan”.

Dalam tempoh lima hari kebelakangan ini, tentera Israel telah menggandakan serangan udara ke atas Gaza, selari dengan lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke rantau Teluk termasuk Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 378 rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera akibat serangan terbaru itu.

Sejak Oktober 2023, Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza yang telah meragut lebih 53,300 nyawa rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM