ORLY, 19 Mei- Kira-kira 130 penerbangan di Lapangan Terbang Orly, Paris terpaksa dibatalkan pada Ahad susulan gangguan sistem di menara kawalan trafik udara.
Situasi menyebabkan ribuan penumpang terjejas dan terpaksa mencari laluan alternatif.
Menurut jurucakap pengendali lapangan terbang itu, sekitar 40 peratus penerbangan berlepas dan tiba pada hari tersebut dibatalkan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Perancis (DGAC) memaklumkan bahawa kerosakan sistem radar menjadi punca utama kekacauan operasi di lapangan terbang berkenaan sekali gus menyebabkan pengurangan ketara jumlah penerbangan.
Antara laluan terjejas termasuk penerbangan domestik seluruh Perancis serta destinasi di Eropah dan Afrika Utara.
DGAC bagaimanapun belum dapat mengesahkan sama ada operasi akan kembali pulih sepenuhnya pada Isnin.- AFP