fb fb fb fb fb

Joe Biden disahkan hidap kanser prostat

Bekas Presiden AS, Joe Biden/AFP

WASHINGTON, 19 Mei- Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden disahkan menghidap kanser prostat "agresif" yang telah merebak ke tulang.

Menurut kenyataan pejabatnya pada Ahad, kanser tersebut dikesan selepas Biden, 82 tahun, mengalami simptom urin yang semakin serius dan pemeriksaan lanjut menemui ketumbuhan baharu pada prostat.

Ia dinilai sebagai tahap tertinggi, dengan skor Gleason 9 (Grade Group 5), namun masih membolehkan rawatan pengurusan dilaksanakan.

Ketika ini, Biden dan keluarganya sedang meneliti pilihan rawatan bersama pasukan perubatan.

Sepanjang pentadbirannya, Biden sering dipersoal mengenai tahap kesihatan dan keupayaan fizikal serta mentalnya untuk menjalankan tugas sebagai presiden tertua dalam sejarah AS.

Kritikan terhadap keupayaannya memuncak selepas debat yang lemah menentang Donald Trump tahun lalu, yang akhirnya memaksa beliau menarik diri daripada bertanding semula.

Kebimbangan mengenai tahap kesihatan Biden semakin memuncak menjelang penerbitan buku baharu “Original Sin” oleh Jake Tapper dan Alex Thompson, yang menuduh adanya usaha menutup kelemahan beliau daripada perhatian awam.

Rekod kesihatan Biden turut mencatatkan sejarah panjang termasuk pembedahan otak pada 1988, beberapa pembuangan kanser kulit dan tragedi keluarga seperti kematian isteri dan anak perempuannya pada 1972 serta anak lelakinya, Beau, akibat kanser otak pada 2015.

Walaupun tidak lagi memegang jawatan, perkembangan kesihatan Biden terus menjadi perhatian, khususnya dalam konteks kepimpinan dan kestabilan politik Demokrat menjelang pilihan raya akan datang.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM