fb fb fb fb fb

Rakyat Kepulauan Canary bantah lambakan pelancong asing

Foto Reuters

KEPULAUAN CANARY, 19 Mei- Ribuan penduduk Kepulauan Canary turun ke jalan raya pada Ahad bagi membantah kebanjiran pelancongan asing yang didakwa memberi tekanan melampau terhadap kehidupan penduduk tempatan.

Ini termasuk kenaikan kos perumahan, kesesakan lalu lintas dan beban terhadap perkhidmatan awam.

Perarakan yang digerakkan di bawah slogan “Canaries have a limit” itu berlangsung serentak di kesemua pulau utama dalam kawasan Canary serta di beberapa bandar besar di tanah besar Sepanyol.

Sebahagian penunjuk perasaan turut melaungkan kebimbangan terhadap kesan pelancongan terhadap bekalan air.

“Kami bukan menolak pelancongan sepenuhnya, ia sumber pendapatan penting dan tonggak utama ekonomi Canary. Tetapi, model pelancongan sedia ada bersifat pemangsa terhadap alam sekitar serta sumber semula jadi yang sememangnya terhad di sini,” kata Penyelaras Greenpeace Canary Islands, Marta Flores kepada Reuters.

Menurut data rasmi, Kepulauan Canary menerima lebih sejuta pelancong asing setiap bulan, berbanding jumlah penduduk seramai 2.2 juta orang.

"Bila sudah sampai tahap bencana sosial dan alam sekitar macam ini, memang tidak pelik kalau rakyat marah dan cari jalan untuk meluahkan rasa serta tuntut perubahan,” kata Victor Suarez, jurucakap platform ‘Canary Islands have a limit’.

Sepanyol mencatat kehadiran pelancong tertinggi dalam sejarah pada tahun 2024 dan menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat tahun ini.

Negara itu turut menyaksikan beberapa siri protes menolak pelancongan berlebihan di lokasi pelancongan popular lain seperti Mallorca, Barcelona dan Malaga.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM