GAZA, 19 Mei– Israel pada Ahad mengumumkan kebenaran kemasukan makanan ke Gaza dengan jumlah yang terhad.
Keputusan itu dibuat susulan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat bagi menamatkan sekatan penuh yang telah dikuatkuasakan sejak lebih dua bulan lalu.
Pengumuman berkenaan dibuat hanya beberapa jam selepas tentera Israel memulakan operasi ketenteraan berskala besar di Gaza, serentak dengan rundingan tidak langsung dengan Hamas berhubung gencatan senjata.
Sejak sekatan dikenakan pada 2 Mac lalu, penduduk Gaza berdepan kekurangan bekalan makanan, air bersih, bahan api serta ubat-ubatan.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) turut mengeluarkan amaran mengenai keadaan kemanusiaan yang semakin kritikal di wilayah itu.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengakui situasi kebuluran yang semakin meruncing di Gaza dan memberi jaminan bahawa langkah segera akan diambil bagi menyalurkan bantuan.
Sementara itu, Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, menggesa agar penghantaran bantuan kemanusiaan disegerakan, dilaksanakan secara menyeluruh dan tanpa sebarang halangan. – AFP