fb fb fb fb fb

Suspek kes tikaman di Kanada ditemukan mati, adik masih diburu

(Damien Sanderson dan Myles Sanderson disyaki suspek dalam serangan
tikaman di wilayah Saskatchewan, Kanada/REUTERS)

SASKATCHEWAN, 6 September- Polis Kanada menemukan mayat seorang daripada dua suspek yang disyaki membunuh 10 individu dan mencederakan 18 yang lain dalam serangan menggunakan pisau di Saskatchewan, semalam.

Namun, adik kepada suspek yang terbunuh itu masih lagi bebas dan mungkin mengalami kecederaan.

Pegawai Pemerintah Saskatchewan Royal Canadian Mounted Police (RCMP), Rhonda Blackmore berkata Damien Sanderson, 31, ditemukan mati di James Smith Cree Nation.

Manakala adiknya, Myles Sanderson, 30, 'mungkin mengalami kecederaan' dan mendapatkan rawatan perubatan.

"Ia telah disahkan oleh bahagian penyiasat forensik Saskatchewan RCMP bahawa si mati ialah Damien Sanderson.

"Mayat Damien ditemui di luar sebuah rumah. Kami boleh mengesahkan suspek mengalami kecederaan yang dipercayai tidak dilakukan sendiri pada ketika ini.

"Punca sebenar kematian akan ditentukan bersama dengan pejabat koroner Saskatchewan," kata Blackmore dalam satu sidang akhbar.

Dengan kematian seorang saudara lelaki Sanderson dan kecederaan kepada yang lain, jumlah mangsa yang maut kini berjumlah 11 orang, manakala 19 lagi cedera.

(Rhonda Blackmore/REUTERS)

Ditanya sama ada Myles Sanderson disyaki membunuh abangnya, Blackmore berkata penyiasatan sedang berjalan dan pihaknya belum dapat mengesahkan.

Blackmore turut menekankan, polis masih menganggap Myles sebagai berbahaya kepada orang ramai walaupun dia mengalami kecederaan.

"Miles mempunyai rekod jenayah, bersenjata dan berbahaya. Jangan mendekatinya," katanya.-REUTERS

Media Baharu