MONTREAL, 12 Mei- Pihak berkuasa Kanada menahan warga India keempat yang didakwa terlibat dalam pembunuhan 2023 seorang pemimpin Sikh di Vancouver.
Amandeep Singh, 22, telah pun ditahan atas tuduhan memiliki senjata api sebelum didakwa dengan pembunuhan tahap pertama dan konspirasi untuk melakukan pembunuhan dalam pembunuhan Hardeep Singh Nijjar.
Tiga lagi warga India ditahan bulan ini.
Pembunuhan itu mencetuskan perbalahan diplomatik antara Ottawa dan New Delhi apabila Perdana Menteri Justin Trudeau mengaitkan perisikan India dengan pembunuhan itu.
Nijjar yang berhijrah ke Kanada pada 1997 dan menjadi warganegara pada 2015 dikatakan penyokong kuat gerakan Sikh, Khalistan.
Dia telah dikehendaki oleh pihak berkuasa India atas dakwaan keganasan dan konspirasi untuk melakukan pembunuhan. Dia bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Dia ditembak mati pada 18 Jun 2023, oleh penyerang bertopeng di tempat letak kereta kuil Sikh yang dipimpinnya di pinggir bandar Vancouver.
Trudeau mengumumkan beberapa bulan kemudian bahawa Kanada mempunyai bukti yang menghubungkan perisikan India dengan pembunuhan itu.
India kemudiannya menolak dakwaan itu sebagai tidak masuk akal dan bertindak balas dengan marah, sekali gus menyekat visa untuk warga Kanada dan memaksa Ottawa memanggil balik diplomatnya.
Pada November, Jabatan Kehakiman AS mendakwa seorang warganegara India yang tinggal di Republik Czech didakwa merancang percubaan pembunuhan serupa di Amerika.
Pendakwa raya berkata dalam dokumen mahkamah, seorang pegawai kerajaan India turut terlibat dalam perancangan itu.
Dakwaan mengejutkan itu datang selepas Presiden AS Joe Biden menerima kunjungan Perdana Menteri India Narendra Modi.
Agensi perisikan AS mengenal pasti plot pembunuhan di Amerika telah diluluskan oleh pegawai pengintip tertinggi India pada masa itu, Samant Goel, lapor Washington Post pada April.
Terdapat kira-kira 770,000 orang Sikh tinggal di Kanada yang membentuk kira-kira dua peratus daripada penduduk negara itu.- AFP