fb fb fb fb fb

Sultan Ibrahim tiba di Kazan bagi segmen kedua lawatan negara di Rusia

Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KAZAN, 8 Ogos - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berangkat tiba di Kazan, ibu negeri Republik Tatarstan pada Jumaat, bagi segmen kedua Lawatan Negara di Rusia.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan pada 10.15 pagi (waktu tempatan).

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut oleh Rais (Presiden) Tatarstan, Rustam Minnikhanov.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Industri dan Perdagangan Tatarstan, Oleg Korobchenko serta Duta Rusia ke Malaysia, Nail Latypov.

Sebagai simbolik sambutan tradisional, tiga gadis berpakaian kebangsaan Tatarstan mempersembahkan roti dan chak-chak, pencuci mulut tradisional republik itu, kepada Seri Paduka
Baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berlepas ke Kazan dalam istiadat keberangkatan rasmi, dari Lapangan Terbang Vnukovo-2 di Moscow.

Pada sebelah petang, Yang di-Pertuan Agong dijadualkan menerima menghadap Minnikhanov di Kazan Kremlin Presidential Palace.

Seri Paduka Baginda berada di Rusia bagi lawatan negara atas undangan Presiden Vladimir Putin.- BERNAMA

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI