fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di selatan Perancis terkawal

Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran di selatan Perancis/Foto AFP

SAINT-LAURENT-DE-LA-CABRERISSE, 8 Ogos - Kebakaran besar yang telah memusnahkan lebih 16,000 hektar kawasan hutan dan belukar di selatan Perancis, berjaya dikawal.

Menurut Ketua Pasukan Bomba wilayah Aude, Kolonel Christophe Magny, kelembapan udara dan hujan sejak pagi tadi memudahkan kerja-kerja memadam api.

"Keadaan kebakaran terkawal dan cuaca baik membolehkan kami menggerakkan sepenuhnya semua aset bagi memastikan api benar-benar dikawal," katanya.

Walaupun kebakaran telah dilabel sebagai terkawal, Magny menegaskan bahawa pihaknya masih berwaspada.

"Kami belum dapat menilai sepenuhnya situasi terkini. Tapi keadaan hari ini positif, dan kami akan teruskan usaha untuk mengawal sepenuhnya kawasan terjejas," katanya lagi.

Sementara itu, wakil Kerajaan Persekutuan di wilayah Narbonne, Remi Recio, memaklumkan lebih 1,800 anggota bomba dikerah dalam operasi pemadaman yang melibatkan skala logistik yang besar.

"Operasi melibatkan 1,850 anggota bomba, kira-kira 600 kenderaan dan 600 peralatan telah digunakan, termasuk 8 jentolak dan 2 jentera berantai.

"Sejak semalam, 10 kilometer laluan telah dibuka bagi memudahkan akses dan kawalan kebakaran," katanya kepada wartawan.

Tambah beliau, para anggota bomba telah bertugas selama lebih 48 jam tanpa henti, menunjukkan komitmen luar biasa untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Pihak berkuasa kini memberi tumpuan kepada usaha menilai kerosakan dan menyelaras kerja pemulihan di kawasan terjejas.

Saint-Laurent-de-la-Cabrerisse dan kawasan sekitarnya kini berada dalam pemantauan rapi, manakala pasukan kejuruteraan masih berada di lokasi untuk memperkukuh kawasan-kawasan strategik bagi mengelak kebakaran susulan. - AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI