fb fb fb fb fb

Kambing bantu cegah kebakaran hutan

Kawanan kambing dibiar merayau dan meragut pokok-pokok renek kering dipinggir hutan di Catalonia, Sepanyol/Foto AFP

CATALONIA, 8 Ogos - Cuaca panas melampau sering mencetuskan kebakaran besar di negara-negara selatan Eropah, bagaimanapun, di Catalonia, Sepanyol, jumlah kebakaran tahun lalu berkurangan, walaupun rantau itu sedang mengalami kemarau paling teruk dalam tempoh satu abad.

Pihak berkuasa wilayah percaya langkah pencegahan kebakaran yang lebih baik, termasuk penggunaan kambing menyumbang kepada penurunan tersebut.

Program rintis "Herd" yang dilaksanakan di bandar Mataro, sebahagian inisiatif yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah (EU) dilihat berjaya mengurangkan risiko kebakaran hutan.

"Projek ini berjaya dan akan diteruskan," kata ahli majlis tempatan Mataro, Jose Antonio Ricis, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pertanian.

Menerusi program itu, lebih 300 ekor kambing dibiar merayau dan meragut pokok-pokok renek kering dipinggir hutan di kawasan ini.

Kambing yang terkenal dengan selera makan yang luar biasa termasuk tumbuhan berduri seperti kaktus dan "thistle", menjadikan haiwan ini sesuai digunakan untuk membersihkan semak-samun dan bahan mudah terbakar, sekali gus mencipta penghadang kebakaran semula jadi.

Walaupun teknik ini sudah diamalkan sejak berabad lamanya, kini semakin ramai penternakdikawasan terbabit kembali menggunakan haiwan berbanding jentera moden selari dengan trend pertanian mampan.

Selain kambing, kuda liar juga digunakan untuk tujuan sama. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI