LONDON, 8 Ogos- Perdana Menteri British, Keir Starmer pada Jumaat menggesa Israel agar menimbang semula keputusan mereka untuk mengambil alih kawalan ke atas Gaza, menyifatkan tindakan itu sebagai salah dan bakal memburukkan lagi keganasan.
"Deklarasi Kerajaan Israel untuk memperluas lagi serangan mereka di Gaza adalah salah dan kami mendesak mereka agar segera menimbang semula," tegas Starmer menerusi kenyataan rasmi.
Tambah Starmer, tindakan itu tidak akan membawa kepada pengakhiran konflik atau membantu membebaskan tebusan malah hanya akan menumpahkan lebih banyak darah.
Starmer turut memberi amaran bahawa krisis kemanusiaan di Gaza semakin memburuk setiap hari.
Beliau menyeru supaya gencatan senjata segera diwujudkan, bantuan kemanusiaan ditingkatkan, semua tebusan dibebaskan serta mencapai penyelesaian secara rundingan.
Starmer juga menyatakan bahawa UK bersama sekutu-sekutunya sedang membina pelan jangka panjang untuk keamanan berdasarkan penyelesaian dua negara.
Namun, tanpa keterlibatan kedua-dua pihak dengan niat baik, peluang itu semakin hilang.
“Pesanan kami jelas iaitu penyelesaian diplomatik adalah langkah terbaik tetapi kedua-dua pihak mesti menjauh dari laluan kemusnahan,” tegas kenyataan itu. -REUTERS