UTTARAKHAND, 8 Ogos - Tentera India mengerahkan anjing pengesan dan dron dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang masih hilang susulan banjir kilat dan tanah runtuh di perkampungan Dharali di negeri Uttarakhand, Selasa lalu.
Setakat ini, sekurang-kurangnya empat orang disahkan maut manakala lebih 50 lagi masih hilang selepas arus deras dan lumpur menenggelamkan rumah, memusnahkan jalan serta memutuskan akses ke kawasan terjejas.
Pasukan penyelamat yang terdiri daripada tentera, polis dan agensi pengurusan bencana kini berdepan cabaran meneruskan pencarian akibat cuaca yang tidak menentu.
Menurut pihak berkuasa tempatan, penggunaan teknologi seperti dron penjejak haba dan anjing Unit Pengesan (K9) adalah penting untuk mengesan mangsa yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan atau tertimbus lumpur.
“Kami sedang menjalankan operasi secara berperingkat dengan fokus kini tertumpu pada kawasan yang dipercayai ada mangsa,” kata salah seorang pegawai penyelamat.
Uttarakhand, yang terletak di kawasan pergunungan Himalaya, sering dilanda banjir kilat dan tanah runtuh ketika musim monsun, dicetuskan hujan lebat dan aktiviti pembalakan serta pembangunan yang tidak terkawal.
Pihak berkuasa telah mengarahkan penduduk di kawasan berisiko tinggi untuk berpindah sementara dan turut mengaktifkan pusat pemindahan kecemasan di beberapa lokasi. - AFP