fb fb fb fb fb

Suhu panas melampau, landa wilayah utara dan tengah China

Foto Reuters

BEIJING, 20 Mei- Beberapa wilayah di utara dan tengah China dilanda gelombang haba luar biasa minggu ini, dengan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius di beberapa bandar utama.

Syarikat penyiaran tempatan, CCTV melaporkan beberapa bandar mencatat rekod suhu tertinggi pada Mei termasuk Zhengzhou, sebuah metropolis berpenduduk 13 juta di wilayah Henan, merekodkan suhu 41 darjah Celsius pada Isnin.

Menurut Pejabat Kaji Cuaca Kebangsaan China, di Linzhou, suhu melonjak kepada 43.2 darjah Celsius manakala Shahe di wilayah Hebei pula mencatatkan 42.9 darjah Celsius.

"Sehingga pukul 4.00 petang Isnin, sebanyak 99 stesen cuaca di seluruh negara telah mencatat atau melebihi rekod suhu tertinggi untuk bulan Mei," kata agensi itu dalam satu kenyataan di media sosial.

Tambah agensi cuacai itu, situasi panas berkenaan dijangka mula reda menjelang Jumaat, dengan beberapa kawasan diramal mengalami penurunan suhu mendadak sehingga 15 darjah Celsius.

Orang ramai dinasihatkan supaya memakai pakaian tambahan bergantung perubahan cuaca bagi mengelakkan demam selesema.

China merupakan penyumbang terbesar gas rumah hijau dunia faktor utama perubahan iklim yang membawa kepada peningkatan kejadian cuaca ekstrem.

Namun pada masa sama, negara itu turut menjadi kuasa besar tenaga boleh diperbaharui dan menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2060.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM