fb fb fb fb fb

Presiden Taiwan tegas mahu berdamai, sempena ulang tahun pentadbiran

Presiden Taiwan, Lai Ching-te/Reuters

TAIPEI, 20 Mei- Presiden Taiwan, Lai Ching-te menegaskan bahawa kerajaannya mahu keamanan dan sedia berdialong dengan China berhubung konflik semasa antara dua negara tersebut.

Beliau bagaimanapun, turut mementingkan bahawa pertahanan negara harus diperkukuh.

Kenyataan itu dikongsi sempena ulang tahun pertama pentadbirannya, hari ini.

Dalam sidang media di pejabat presiden, Lai menjelaskan bahawa rakyat Taiwan cintakan keamanan, tetapi mengingatkan bahawa untuk mengecapi keamanan, rakyat tidak boleh dibuai mimpi dan ilusi.

"Taiwan akan terus memperkukuh pertahanan kerana bersiap sedia menghadapi perang adalah cara terbaik untuk mengelaknya," ujar beliau.

China terus menggelar Lai sebagai seorang pemisah dan menolak tawaran berulang beliau untuk mengadakan rundingan.

Lai pula menolak dakwaan kedaulatan China terhadap pulau demokrasi itu, sambil menegaskan bahawa hanya rakyat Taiwan berhak menentukan masa depan mereka sendiri.

Jurucakap kerajaan Taiwan minggu lalu berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan China akan mengadakan latihan ketenteraan sempena ulang tahun pentadbiran Lai sebagai bentuk tekanan.

Ketegangan China dan Taiwan telah lama berlarutan, dengan Beijing berikrar menyatukan pulau itu di bawah pemerintahan China, sama ada secara damai atau melalui kekerasan.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM