fb fb fb fb fb

Israel terus dikecam negara Eropah susulan sekatan bantuan dan ancaman pengusiran di Gaza

Foto Reuters

HELSINKI, 20 Mei - Pemimpin politik dari Finland dan Sweden pada Isnin menyuarakan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan yang semakin merosot di Gaza ekoran kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang memberi bayangan Israel bercadang mengambil alih sepenuhnya Semenanjung Gaza, lapor Xinhua.

Dalam kenyataan bersama yang disiarkan di platform media sosial X, Presiden Finland Alexander Stubb, Perdana Menteri Petteri Orpo dan Menteri Luar Elina Valtonen menegaskan keperluan mendesak bagi memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke wilayah itu.

Mereka menekankan bahawa bantuan kemanusiaan tidak seharusnya dipolitikkan dan memberi amaran bahawa pengusiran paksa merupakan jenayah perang dan tidak boleh dijadikan sebahagian daripada resolusi yang dicadangkan.

Kepimpinan Finland turut menggesa gencatan senjata segera dan penyambungan semula rundingan damai berdasarkan penyelesaian dua negara.

Mereka mendesak Israel memenuhi kewajipan undang-undang antarabangsa serta memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan.

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi kemanusiaan mesti dibenarkan beroperasi secara menyeluruh dan bebas di Gaza.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Sweden Maria Malmer Stenergard turut mengkritik kenyataan Netanyahu.

Dalam kenyataan bertulis kepada Televisyen Sweden, beliau memberi amaran bahawa jika hasrat Israel adalah untuk melakukan pengilhakan, ia merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa.

Stenergard mengulangi pendirian Sweden yang menyokong integriti wilayah Gaza dan menegaskan kerajaan berulang kali menuntut akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan.

Beliau berkata bahawa Sweden dan Kesatuan Eropah sedang menilai langkah-langkah untuk menyokong penduduk awam Gaza.

Dalam wawancara bersama agensi berita TT, beliau berkata Sweden akan mendesak EU mengenakan sekatan terhadap beberapa menteri Israel tertentu yang dituduh menyokong peluasan penempatan haram dan menghalang kemajuan ke arah penyelesaian dua negara.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan mana-mana menteri secara khusus.

Kenyataan Netanyahu itu dibuat awal Isnin, ketika Israel memperhebatkan operasi ketenteraannya di Gaza.

Netanyahu berkata Israel akan "mengambil alih sepenuhnya" Semenanjung Gaza. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF