HONG KONG, 18 Februari - Penduduk Hong Kong mempersoalkan strategi 'dinamik sifar COVID' kerajaan dalam menangani peningkatan kes COVID-19 di wilayah itu.
Menurut media tempatan, jangkitan harian telah meningkat lebih daripada 40 kali ganda sejak awal Februari dengan jangkaan sebanyak 5,000 setiap hari.
Hang Tang yang juga merupakan pegawai kesihatan berkata, langkah tersebut tidak sesuai memandangkan Hong Kong merupakan pulau bandar.
"Terdapat kebimbangan kerana serba sedikit COVID telah menjejaskan kehidupan seharian saya.
"Kerajaan mahu mencapai status 'dinamik sifar COVID', yang pada asasnya menjadikan rakyat lebih bermasalah dan keliru kerana saya percaya tiada virus boleh dihapuskan sepenuhnya," katanya.
Pihak berkuasa telah menutup sekolah, gimnasium, pawagam dan kebanyakan tempat awam serta mengarahkan pekerja pejabat kembali bekerja dari rumah.
Beijing juga berjanji membantu Hong Kong meningkatkan kapasiti ujian, rawatan, kuarantin dan mengatasi masalah kesesakan di hospital.
Pakar perubatan memberi amaran kes harian boleh meningkat kepada 28,000 menjelang akhir Mac ketika kebimbangan memuncak dikalangan warga tua terhadap terhadap vaksin.