PARIS, 28 Januari- Strain baharu selesema burung telah disahkan di sebuah ladang itik di California.
Laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada Selasa, mengesahkan bahawa selesema burung patogenik tinggi (HPAI) H5N9 telah dikesan di sebuah ladang ayam itik komersial di Merced County, California.
"Ini adalah kes pertama HPAI H5N9 yang disahkan dalam ternakan itik di Amerika Syarikat," kata WOAH, yang memantau penyakit haiwan di seluruh dunia.
Kejadian itu yang asal usulnya tidak diketahui, disahkan pada 13 Januari dan kesemua 119,000 ekor itik di ladang tersebut telah dimusnahkan.
Strain H5N1 yang sudah biasa ditemukan dalam kalangan haiwan di Amerika Syarikat juga dikesan di ladang tersebut.
Pegawai kesihatan haiwan Amerika Syarikat sedang menjalankan penyelidikan epidemiologi yang menyeluruh dan meningkatkan pemantauan berikutan kejadian tersebut, menurut WOAH.
Kemunculan strain baru selesema burung ini berlaku pada masa Presiden Donald Trump memutuskan untuk menarik negara itu dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Amerika Syarikat adalah penderma terbesar kepada agensi kesihatan PBB tersebut, yang mengkoordinasikan tindak balas global terhadap kecemasan kesihatan.
Pakar kesihatan telah memberi amaran mengenai potensi ancaman pandemik kepada manusia yang dibawa oleh selesema burung, yang menunjukkan tanda-tanda mutasi semasa ia merebak di kalangan lembu dan menjangkiti manusia di Amerika Syarikat.
Mereka telah berbulan-bulan menyeru pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk meningkatkan pemantauan dan berkongsi lebih banyak maklumat mengenai wabak selesema burung ini.
Jika Amerika Syarikat dan WHO tidak lagi bekerjasama dan berkongsi data penting, usaha untuk menjejaki penyebaran virus di peringkat antarabangsa akan menjadi lebih sukar.
"Penarikan diri AS merupakan kebimbangan untuk kesihatan global", kata WHO minggu lalu.
Sehingga kini, 67 orang di Amerika Syarikat telah dijangkiti selesema burung, dengan seorang daripadanya meninggal dunia pada awal Januari, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS minggu ini.
Kes-kes itu disebabkan oleh pendedahan langsung kepada haiwan yang sakit dan WHO menekankan bahawa sehingga kini, tiada penularan dari manusia ke manusia dilaporkan.
Namun, saintis bimbang bahawa jika seseorang dijangkiti dengan kedua-dua selesema burung dan selesema musim, virus selesema burung boleh bermutasi menjadi strain yang boleh merebak antara manusia dan berpotensi mencetuskan pandemik manusia.-AFP