fb fb fb fb fb

Ekor pesawat Busan Air terbakar, semua penumpang dan kru selamat

FOTO REUTERS

SEOUL, 28 Januari- Ekor sebuah pesawat penumpang dilaporkan terbakar di sebuah lapangan terbang antarabangsa di bandar kedua terbesar Korea Selatan pada Selasa, menyebabkan 176 orang di atas kapal dipindahkan, lapor agensi berita Yonhap.

Pesawat Air Busan yang dalam perjalanan ke Hong Kong dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae di Busan, tenggara negara itu, terbakar sekitar pukul 10.30 malam waktu tempatan.

Seramai 169 penumpang dan tujuh kru kabin berjaya menyelamatkan diri menggunakan gelongsor kecemasan.

Punca kebakaran bagaimanapun masih belum dikenal pasti.

Seorang individu dilaporkan cedera, tetapi tiada butiran lanjut diberikan.

Korea Selatan baru sahaja mengalami tragedi penerbangan terburuk bulan lalu apabila sebuah pesawat Jeju Air Boeing 737-800 dari Thailand ke Muan pada 29 Disember mendarat cemas dan meletup menjadi bola api selepas melanggar penghadang konkrit.

Nahas itu mengorbankan 179 daripada 181 penumpang dan kru kabin di dalam pesawat.

Flightradar24 melaporkan bahawa armada Air Busan terdiri sepenuhnya daripada pesawat Airbus.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE