OTTAWA, 29 Januari- Seorang pembunuh upahan Tanner Fox dijatuhi hukuman penjara seumur hidup berikutan membunuh suspek yang dibebaskan dalam pengeboman Air India 182 pada tahun 1985 yang mengorbankan 331 individu.
Tanner Fox dan rakan sejenayahnya Jose Lopez mengaku bersalah pada Oktober lalu atas pembunuhan Ripudaman Singh Malik.
Kedua-duanya mengaku bahawa mereka dibayar untuk melakukan tembakan pada Julai 2022 di pinggir bandar Vancouver di barat Kanada namun mereka tidak mendedahkan identiti pengupah.
Sementara itu Lopez akan kembali ke mahkamah pada 6 Februari.
Malik, bersama Ajaib Singh Bagri dibebaskan dua dekad lalu daripada tuduhan berkaitan pengeboman 1985 kerana kekurangan bukti.
Pengeboman pesawat Air India 182 di luar pantai Ireland mengorbankan kesemua 329 penumpang dan anak kapal merupakan serangan paling kejam sebelum peristiwa 11 September 2001 di Amerika Syarikat.
Ia berlaku ketika satu lagi bom meletup di lapangan terbang Narita Jepun, membunuh dua pekerja yang sedang memuatkan bagasi ke dalam penerbangan Air India.
Kedua-dua bom beg pakaian kemudiannya dikesan dibawa ke Vancouver.
Inderjit Singh Reyat adalah satu-satunya individu disabitkan dalam insiden itu, kerana membuat bom dan melakukan pembohongan pada perbicaraan Malik dan Bagri. -AFP