fb fb fb fb fb

Stesen Janakuasa Liddell ditutup, tamatkan era loji arang batu

(FOTO AFP)

SYDNEY, 29 April - Loji janakuasa arang batu tertua di Australia akhirnya ditutup pada Jumaat.

Langkah itu diambil ketika negara itu bersedia untuk peralihan seismik ke arah tenaga boleh diperbaharui.

Stesen janakuasa Liddell yang terletak kira-kira tiga jam pemanduan ke utara Sydney adalah satu dalam siri loji arang batu yang tertua yang dijadual akan ditutup pada tahun-tahun akan datang.

Dibina pada tahun 1971, Liddell membekalkan kira-kira 10 peratus daripada tenaga elektrik yang digunakan di New South Wales, negeri yang paling ramai penduduk di Australia.

Pemilik Liddell, AGL berkata ia akan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk merobohkan kemudahan loji tersebut.

(FOTO AFP)

"Lebih 90 peratus bahan dalam stesen janakuasa itu akan dikitar semula, termasuk 70,000 tan keluli yang lebih banyak keluli daripada yang terdapat di Jambatan Pelabuhan Sydney," kata syarikat itu.

Selama beberapa dekad, arang batu telah membekalkan sebahagian besar tenaga elektrik Australia namun pakar tenaga boleh diperbaharui Universiti New South Wales, Mark Diesendorf memberitahu AFP bahawa stesen seperti Liddell dengan pantas menjadi "clunkers" yang tidak boleh dipercayai.

"Selain tidak cekap, sangat mencemarkan dan mahal untuk dibaiki, penggunaan secara meluas loji janakuasa arang batu akan menjadikan sasaran iklim Australia hampir mustahil untuk dicapai," kata Diesendorf.

Berdepan tekanan awam yang meningkat untuk menangani krisis iklim, banyak syarikat bahan api fosil Australia semakin memilih untuk menutup loji arang batu lama.

Stesen janakuasa arang batu terbesar di Australia, iaitu Eraring di New South Wales misalnya dijadualkan ditutup pada 2025.

Sejak sekian lama, Australia dikenali sebagai salah satu pengeluar dan pengeksport arang batu terbesar di dunia.

Bagaimanapun, kerajaan yang dipilih tahun lepas berikrar untuk memastikan 82 peratus daripada bekalan elektrik negara datangnya dari sumber tenaga yang boleh diperbaharui menjelang 2030.

Pada masa ini, penggunaan tenaga boleh diperbaharu di Australia adalah sekitar 30 peratus.-AFP

Media Baharu