fb fb fb fb fb

Sri Lanka mohon moratorium daripada IMF

Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe

COLOMBO, 6 Mac- Sri Lanka memohon moratorium pembayaran balik hutang asing sehingga 2028.

Perkara itu dinyatakan presidennya, Ranil Wickremesinghe.

Kejatuhan rizab pertukaran asing menyaksikan kekurangan makanan dan bahan api selama berbulan-bulan bersama dengan protes jalanan yang memaksa penyingkiran Gotabaya Rajapaksa pada 2022.

Sri Lanka sejak itu telah mendaftar untuk pakej penyelamat Tabung Kewangan Antarabangsa dan sedang berusaha untuk membaiki kewangan awamnya.

Wickremesinghe berkata rundingan masih diteruskan dengan pemiutang untuk menyusun semula pinjaman dan bon berbilion dolarnya.

"Kami berhasrat untuk mendapatkan pelepasan sementara untuk tidak perlu membayar hutang sehingga akhir Disember 2027," kata Wickremesinghe di parlimen.

Hutang asing Sri Lanka berjumlah AS$52.65 bilion pada akhir September 2023, menurut angka bank pusat.

Untuk mengekalkan program jaminan pinjaman (bailout) IMF, Sri Lanka mesti mencapai perjanjian kukuh dengan pemiutang asing, kedua-dua pemegang bon dua hala dan swasta, sebelum kajian IMF seterusnya terhadap ekonomi menjelang Jun tahun ini.

IMF mengeluarkan bahagian kedua AS$337 juta pinjaman 'bailout' pada Disember selepas Colombo memperoleh perjanjian hutang dengan Beijing.

China ialah pemberi pinjaman dua hala tunggal terbesar Sri Lanka, menyumbang kira-kira 10 peratus daripada jumlah hutang asing pulau itu.

Colombo mahupun Beijing tidak mendedahkan butiran tawaran itu, tetapi IMF berkata ia mencukupi untuk memastikan kemampanan hutang pulau berkenaan.

Tetapi IMF berkata ia mahu perjanjian antara kedua-dua negara dikukuhkan sebelum semakan seterusnya.

Sumber rasmi di Sri Lanka berkata perjanjian dengan China itu termasuk campuran melanjutkan tempoh dan mengurangkan faedah ke atas hutang dua hala dan bukannya memotong jumlah pinjaman.

Ekonomi Sri Lanka kemudiannya semakin stabil sejak krisis terburuk 2022, yang menyaksikan pergolakan awam berbulan-bulan memuncak dengan penyingkiran presiden ketika itu Gotabaya Rajapaksa apabila beribu-ribu penunjuk perasaan menyerbu rumahnya.

Wickremesinghe telah menaikkan cukai secara drastik dan memotong subsidi pengguna yang terlalu tinggi untuk meningkatkan hasil kerajaan, sejajar dengan saranan IMF.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE