SYDNEY, 6 Mac- Polis Australia telah mendakwa seorang lelaki berusia 45 tahun kerana mengikat tiga kanak-kanak Orang Asli dengan pengikat kabel selepas mereka berenang di kolam tanpa kebenaran.
Imej media sosial kelihatan menunjukkan kanak-kanak berkenaan menangis, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan dua kanak-kanak lelaki berusia tujuh dan lapan tahun dengan tangan mereka terikat di luar sebuah rumah di Broome, Australia Barat semasa kejadian pada Selasa.
Satu video di media sosial, yang disiarkan secara meluas oleh media Australia, menunjukkan penduduk tempatan menjerit ke arah seorang lelaki kulit putih di kawasan itu, meminta supaya dia membebaskan kanak-kanak berkenaan.
"Itu adalah sekeping video yang sangat menyedihkan yang kita semua lihat semalam," kata Perdana Menteri Australia Barat Roger Cook pada sidang akhbar pada hari Rabu.
"Saya faham ia menimbulkan emosi yang sangat kuat dalam setiap orang tetapi tolonglah,, biarkan polis menjalankan tugas mereka," katanya.
"Jelas sekali polis akan memantau keadaan dari segi emosi masyarakat di sana dan menggunakan sumber dengan sewajarnya."
Terdahulu, Polis di Broome memberitahu telah menerima laporan mengenai kanak-kanak sedang berenang di kolam yang tidak berpenghuni di sebuah rumah di pinggir bandar Broome di Cable Beach.
Ketika polis tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati dua daripada kanak-kanak itu masih terikat dengan pengikat kabel, kata pemangku penolong pesuruhjaya wilayah polis Australia Barat Rod Wilde.
Manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang melarikan diri sebelum sebelum itu juga telah ditemui, kata polis dalam satu kenyataan berasingan.
Lelaki itu telah ditahan, didakwa dan dibebaskan dengan ikat jamin sebelum perbicaraan mahkamah di Mahkamah Majistret Broome pada 25 Mac, kata polis.
.