COLOMBO, 30 November- Indeks Harga Pengguna Sri Lanka menyusut sebanyak 2.1 peratus pada November. Ia merupakan kadar deflasi tertinggi yang dicatatkan oleh negara itu dari segi ekonomi sejak 1961.
Kejatuhan kewangan pada 2022 menyebabkan kekurangan barangan pengguna selama berbulan-bulan selain menyebabkan negara itu berada pada inflasi hampir 70 peratus pada tahun tersebut.
Sejak itu, pinjaman sebanyak $2.9 bilion dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kenaikan cukai dan langkah penjimatan lain dilakukan secara berfasa berjaya melakukan perubahan dalam membaiki ekonomi pulau itu.
"Inflasi utama akan kekal negatif dalam beberapa bulan akan datang, lebih jauh daripada unjuran sebelum ini, terutamanya disebabkan pelarasan lebih besar dalam harga tenaga dan pengurangan harga makanan," kata bank pusat Sri Lanka dalam satu kenyataan.
Bank itu berkata inflasi berkemungkinan akan kembali ke paras sasaran iaitu pada lima peratus dalam beberapa bulan akan datang.
Sri Lanka mengalami deflasi sebanyak 0.8 peratus pada Oktober dan 0.5 peratus pada September.
Presiden Sri Lanka Anura Kumara Dissanayake yang dipilih pada September berjanji untuk mengekalkan program penyelamat IMF yang dirundingkan oleh pendahulunya termasuk mengenakan cukai lebih tinggi dan pemotongan perbelanjaan negara.- AFP