fb fb fb fb fb

Spesies orkid seperti kaca ditemukan di Jepun

(Orkid spiranthes hachijoensis seperti kaca ditemukan di Jepun/
AFP & KENJI SUETSUGU

TOKYO, 25 Mac- Spesies orkid baharu berwarna merah jambu dan putih dengan bunga halus seperti kaca ditemukan oleh saintis Jepun.

Walaupun ia sering dilihat di taman-taman dan kebun di Jepun, penyelidik di Universiti Kobe mengambil masa sedekad untuk mengesahkan bahawa tumbuhan digelar spiranthes hachijoensis (Orchidaceae) itu adalah spesies yang tidak diketahui sebelum ini.

Pokok orkid tersebut diberi nama hachijoensis kerana banyak sampel ditemui di pulau Hachijojima di Tokyo.

“Ia satu kejutan untuk menemukan spesies baharu spiranthes, walaupun bunga tersebut sudah biasa dilihat di taman, kebun dan di antara tumbuhan yang ditanam di dalam pasu,” kata Profesor Fitologi, Kenji Suetsugu.

Menurut Suetsugu yang mengetuai penyelidikan tersebut, beberapa sampel orkid itu diambil daripada tanaman pasu dan taman awam, termasuk yang disimpan di sebuah sekolah menengah di wilayah Gifu di tengah Jepun.

“Daripada bentuknya yang unik dan kelopak bunganya yang cantik menyerupai kaca, tumbuhan ini sudah lama digemari oleh masyarakat,” jelas universiti itu dalam satu kenyataan akhbar. -AFP

(FOTO AFP & KENJI SUETSUGU)

Media Baharu