TEXAS, 27 Ogos - SpaceX, syarikat penerokaan angkasa milik Elon Musk, melancarkan roket gergasi Starship pada Selasa bagi ujian ke-10, dengan tujuan mengatasi kelewatan pembangunan serta mencapai penanda aras teknikal penting dalam reka bentuk roket boleh guna semula ke Marikh.
Sistem Starship setinggi 403 kaki (123 meter) berlepas sekitar 7.30 malam waktu dari fasiliti SpaceX di Starbase, Texas Selatan. Misi kali ini menumpukan ujian jubin pelindung haba baharu dan keupayaan pelepasan satelit, selain ratusan penambahbaikan lain berbanding versi terdahulu.
Bahagian atas roket berjaya berpisah seperti dirancang daripada pendorong peringkat pertama Super Heavy setinggi 232 kaki, yang kebiasaannya kembali mendarat di menara pelancaran menggunakan sistem lengan mekanikal khas (catch-arms). Namun, kali ini ia disasarkan ke perairan Teluk Mexico bagi menguji konfigurasi enjin pendaratan alternatif.
Sementara itu, Starship berjaya mencapai angkasa lepas sebelum menuju ke Lautan Hindi, tempat ia mendarat di laut selepas melalui fasa kemasukan semula atmosfera yang menghasilkan haba melampau, bahagian kritikal ujian yang sebelum ini sering menyebabkan kegagalan roket.
Beberapa ketika selepas tiba di orbit, sistem pelepasan satelit berbentuk “Pez” pada Starship buat julung kalinya melepaskan satelit tiruan Starlink, satu kejayaan yang sebelum ini dibatalkan atau gagal dicapai dalam ujian terdahulu.- REUTERS