LONDON, 27 Ogos - Platform rekod dunia, Guinness World Records, meraikan ulang tahun ke-70 pada Rabu.
Inisiatif itu bermula di United Kingdom apabila pengurus kilang bir Guinness, Hugh Beaver, ingin mengetahui burung permainan paling pantas di Eropah. Gagal menemui jawapan dalam buku rujukan, Beaver kemudian mengupah pasangan kembar Norris dan Ross McWhirter yang mengendalikan agensi pencarian fakta di London.
Beaver seterusnya menugaskan mereka menyusun sebuah buku rekod fakta yang diterbitkan pada 1955 dan menjadi buku terlaris menjelang Krismas tahun tersebut.
Sejak itu, Guinness Book of World Records berkembang menjadi sebuah francais merangkumi buku rekod tahunan, siri televisyen, muzium serta pelbagai acara global untuk mencipta dan mengiktiraf rekod baharu.
Rekod yang dicatat bukan sahaja melibatkan manusia tertinggi di dunia atau ketahanan luar biasa seperti plank perut terpanjang dan masa terpantas menarik kereta dengan berjalan menggunakan tangan, malah ada juga yang dicatat haiwan.
Antaranya, anjing bulldog bernama Otto yang memegang rekod meluncur papan selaju melalui terowong manusia terpanjang, serta llama bernama Caspa yang memiliki rekod loncatan palang tertinggi oleh spesies itu.
Sempena ulang tahun ke-70, Guinness World Records kembali menghubungi beberapa pemegang rekod ikonik yang berkongsi bagaimana pengiktirafan itu mengubah kehidupan mereka.
Pakar binaan rumah kad, Bryan Berg, yang mencatat rekod menara kad permainan tertinggi pada 1992, mengakui ia telah membuka jalan untuknya menjadikan minat sebagai kerjaya. Berg kini memiliki empat rekod Guinness dan beberapa kali memecahkan rekod ciptaannya sendiri.
Bagi bekas gimnas yang bergelar pelakon, Najee Richardson, usaha mengejar rekod dunia telah menjadi motivasi untuk mencapai sasaran yang dianggap mustahil.-REUTERS