SYDNEY, 2 Septmber – South Australia menjadi negeri pertama di negara itu yang melarang penggunaan bekas sos kicap berbentuk ikan plastik, barangan kegemaran pencinta sushi yang sering ditemui hanyut di longkang dan pantai.
Dikenali sebagai shoyu-tai, bekas plastik kecil itu mula dicipta di Jepun pada 1950-an dan popular digunakan pelanggan untuk menambah perisa pada sushi bungkus.
Namun, menurut Menteri Alam Sekitar Australia Selatan, Susan Close, saiznya yang kecil menyebabkan ia tidak dapat diproses oleh mesin pengasingan, sebaliknya berakhir di tapak pelupusan sampah atau mencemari alam sekitar.
“Plastik sekali guna hanya digunakan beberapa saat tetapi kekal sepanjang hayat dalam persekitaran semula jadi kita. Saiz kecil bekas sos berbentuk ikan ini mudah tercicir, ditiup angin atau dihanyutkan ke longkang, sekali gus menjadi sampah biasa di pantai dan jalan raya,” katanya.
Selain bekas sos berbentuk ikan, larangan itu turut meliputi sudu garpu plastik, beg plastik, cawan kopi serta bekas makanan bungkus.
Menurut laman web syarikat pengeluar Asahi Sogyo, selain bekas berbentuk ikan, mereka turut menghasilkan pelbagai bekas sos kicap berbentuk unik lain seperti anak babi kecil dan botol mini, yang asalnya dicipta sebagai azimat tuah. Kilangnya dilaporkan menghasilkan sekitar sejuta bekas sehari.
Kerajaan negeri memaklumkan, restoran kini perlu beralih kepada alternatif lain seperti pek sos dalam bentuk sachet, pek picit, bekas boleh isi semula atau bekas boleh kompos.
Pemilik restoran Jepun, Abby Zhang, menyifatkan larangan itu sebagai langkah positif.
“Kami sudah lama beralih daripada bekas sos ikan plastik kepada pilihan lebih lestari seperti bekas sos boleh kompos. Pelanggan juga memberikan sokongan yang amat baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Secara global, lebih 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun dengan separuh daripadanya untuk kegunaan sekali guna. Namun, hanya 15 peratus sisa plastik dikumpul untuk dikitar semula, dan sembilan peratus sahaja benar-benar diproses semula.-AFP